496 Pendatang Asing Tanpa Izin Ditahan di Seri Kembangan, Operasi Bongkar Sarang Judi dan Persembunyian di Siling

- Sabtu, 19/07/2025
 496 Pendatang Asing Tanpa Izin Ditahan di Seri Kembangan, Operasi Bongkar Sarang Judi dan Persembunyian di Siling
Sebanyak 496 pendatang asing tanpa izin ( dok BuletinTV3)

Seri Kembangan, Selangor – Sebanyak 496 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi besar-besaran oleh Jabatan Imigresen Malaysia bersama pelbagai agensi penguat kuasa di kawasan penempatan warga asing di Pangsapuri Putera Permai Selesa, Seri Kembangan, malam tadi (18/7).

Operasi bersepadu yang bermula sekitar jam 10 malam itu melibatkan 217 pegawai dan anggotadaripada pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebanyak empat blok pangsapuri diperiksa, melibatkan sejumlah 741 warga asing, di mana 496 individu ditahan selepas didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen. Mereka yang ditahan terdiri daripada 357 lelaki, 107 wanita, dan 32 kanak-kanak, dengan latar belakang kewarganegaraan dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Thailand, dan Kemboja.

Lebih mengejutkan, operasi turut membongkar aktiviti judi dalam talian yang beroperasi dari tiga unit kediaman di tingkat dua salah satu blok. Beberapa rumah juga didapati telah dipasang kamera CCTV dan pintu besi tambahan, dipercayai sebagai langkah menghalang pihak berkuasa melakukan serbuan.

Dalam cubaan meloloskan diri, beberapa PATI bertindak menyembunyikan diri beramai-ramai di bahagian siling. Namun usaha itu gagal dan sebahagian daripada mereka mengalami kecederaanakibat terjatuh atau tertimpa struktur siling yang roboh.

Kesemua yang ditahan berusia antara dua bulan hingga 60 tahun, dan kebanyakan mereka bekerja di sekitar kawasan tersebut termasuk di Pasar Borong Selangor, tapak pembinaan, premis perniagaan, serta sebagai pembantu rumah.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh, melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pelbagai kesalahan lain mengikut Akta Imigresen.

Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pihak Imigresen menegaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan secara berkala bagi menangani kebanjiran warga asing tanpa izin dan kegiatan jenayah yang berkaitan di kawasan berisiko tinggi.

 

 

Sumber Bulettintv3

Tags

Artikel Terkait

Terkini